top of page

Cadangan kepada UKM: Menambahbaikan Kerja Kawalan Wabak Covid 19 di dalam kampus.

  • Writer: Student Unity Front UKM 国大学生团结阵线
    Student Unity Front UKM 国大学生团结阵线
  • 30 Mei 2021
  • 3 min membaca


Kebelakangan ini, terdapat kes positif Covid 19 di ketiga-tiga kampus UKM. Menurut kenyataan bertarikh 28 Mei oleh Majlis Ketua Eksekutif Kolej-Kolej Kediaman, terdapat 33 kes dalam kampus UKM. Kolej Pendeta Za’ba juga telah mengeluarkan memo untuk mengehadkan pergerakan penghuni kolej kediaman tersebut. [1]


Namun, para mahasiswa berasa keliru tentang kerja kawalan wabak Covid 19 di dalam kampus baru-baru ini:

1. Bilakah had pergerakan akan ditamatkan?

Memo tersebut tidak menyebut tarikh akhir had pergerakan tersebut. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Total Lockdown yang baru diumumkan juga mempunyai tempoh yang telah ditetapkan untuk memudahkan rakyat membuat persiapan. Menurut SOP oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) [2], mahasiswa hanya disekat pergerakan keluar-masuk kampus. Had pergerakan KPZ akan menyukarkan penghuni yang perlu menghadiri ke fakulti untuk keperluan akademik. Tanpa satu tempoh yang jelas, mahasiswa akan sukar untuk membuat perancangan untuk masa terdekat ini.


2. Bagaimanakah pihak pengurusan akan mengurus kontak rapat?

Pengasingan kontak rapat yang berkesan dapat memutuskan jaringan Covid 19. Namun, pihak pengurusan UKM belum mengumumkan sebarang prosedur untuk menguruskan kontak rapat ini. Baru-baru ini, kontak rapat di kampus Cheras hanya disuruh menjalankan kuarantin kendiri kerana kekurangan bilik kediaman. [3] Keadaan tersebut telah membahayakan para penghuni KTDI. Pihak pengurusan UKM patut mengumumkan prosedur mengenai kontak rapat ini supaya para mahasiswa dapat membuat persediaan awal jika dihubungi dan melegakan para warga UKM yang lain.


Di sini, kami memberi cadangan seperti berikut:

  1. Mengumumkan statistik berkaitan Covid 19 di dalam kampus setiap hari. Statistik ini patut diumumkan melalui pelbagai saluran media yang rasmi, supaya para mahasiswa dapat mengetahui perkembangan terkini. Statistik dan data yang patut diumumkan ialah kes harian Covid 19, bilangan kontak rapat dan bilangan ujian swab. Ketelusan adalah penting untuk mengelakkan vakum maklumat (information vacuum) yang akan mengakibatkan penularan maklumat palsu dan khabar angin yang kurang tepat. Keadaan ini akan menyebabkan kekeliruan serta menjejaskan kerja kawalan pandemik.

  2. Menyediakan jadual masa untuk pembungkusan makanan. Kafeteria di kolej-kolej kediaman sesak dengan para mahasiswa terutama semasa waktu makan tengah hari dan waktu makan malam. Keadaan ini akan meningkatkan risiko jangkitan silang (cross infection). Oleh itu, pihak pengurusan kolej kediaman dan Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) patut menetapkan jadual waktu berdasarkan blok kediaman. Dengan ini, kesesakan di kafeteria dapat dikurangkan dan memudahkan pelaksanaan SOP seperti penjarakan sosial.

  3. Persediaan awal untuk cuti semester yang akan datang. Cuti semester akan mula lebih kurang dua bulan atau sembilan minggu dari sekarang. Menurut trend kes harian Covid 19 kini, para mahasiswa adalah kurang digalakkan untuk melakukan perjalanan rentas negeri semasa cuti semester. Oleh itu, pihak UKM patut bersedia untuk mengizinkan para mahasiswa terus menetap di kolej kediaman, dan mengumumkan prosedur serta harga penginapan luar semester secepat mungkin untuk membenarkan para mahasiswa membuat persediaan awal. Selain itu, terdapat mahasiswa yang akan menjalankan latihan industri pada cuti semester yang akan datang nanti. Oleh itu, fakulti-fakulti patut menyediakan pelan kontigensi jika mahasiswa yang terlibat tidak dapat menjalankan latihan industri berikutan pengumuman total lockdown dan pelbagai ketidakpastian di pasaran.

Kerja kawalan Covid 19 yang berjaya bukan sahaja dapat menjamin keselamatan dan kesihatan warga UKM, tetapi juga meminimumkan gangguan kepada kehidupan harian kita akibat wabak ini, Namun, keadaan pandemik yang semakin serius sekarang telah mengakibatkan pelbagai unsur ketidakpastian. Oleh itu, kami berharap pihak UKM dapat melaksanakan kerja kawalan wabak berdasarkan fakta saintifik terkini, termasuk pelaksanaan SOP, polisi pengasingan kontak rapat, ketelusan dan persediaan awal. Kami juga menyeru para mahasiswa sentiasa bekerjasama dan mematuhi segala SOP yang ditetapkan.



Comments


Post: Blog2_Post

©2020 by Student Unity Front UKM. Proudly created with Wix.com

bottom of page