TIGA TUNTUTAN OLEH MAHASISWA/I MALAYSIA
- Student Unity Front UKM 国大学生团结阵线
- 5 Sep 2021
- 3 min membaca

Perdana Menteri Malaysia ke-9, Ismail Sabri telah mengambil alih pemerintahan negara dan akan mengetuai kabinet baharu. Walau bagaimanapun, dengan keadaan di mana negara berhuru-hara akibat wabak pandemik yang menyebabkan rakyat bersemangat rendah, dan juga sistem pentadbiran serta dasar negara yang tidak sempurna, masa depan negara dan rakyat adalah tidak optimis. Tambahan pula, mahasiswa-mahasiswi negara kita telah lama menghadapi pelbagai masalah yang berpunca daripada kelemahan sistem pendidikan. Dengan tujuan mempertahankan sistem demokrasi negara kita dan melindungi hak dan kebajikan serta pembangunan jangka masa panjang mahasiswa/wi, kami mahasiswa/wi Malaysia dengan ini mengemukakan tiga tuntutan:
1. Kembalikan Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi
Sejak pentadbiran kabinet Muhyiddin Yassin bermula pada bulan Mac 2020, agenda-agenda reformasi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) telah pun dibatalkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad, antaranya pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan Rang Undang-undang Pengajian Tinggi yang bakal dibentang di Parlimen pada Disember 2020.
Ini bermakna autonomi universiti, autonomi mahasiswa, penubuhan kesatuan mahasiswa (Student Union), dan kebebasan berpesatuan para mahasiswa masih dibatasi oleh AUKU. Di bawah AUKU, mahasiswa/wi tidak mempunyai hak untuk berbicara di dalam universiti, dan ini mengakibatkan kebanyakan sistem dan dasar polisi universiti tidak dapat disemak dan diimbangkan.
Penerusan AUKU menyebabkan mahasiswa/wi negara kita masih dikongkong untuk meneroka ilmu pengetahuan serta menanam kesedaran autonomi di dalam universiti, maka perkembangan pengajian tinggi untuk memenuhi keperluan dan kualiti pendidikan abad ke-21 dihindari. Oleh itu, adalah mustahak bagi kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, membentang Rang Undang-undang Pengajian Tinggi, mengembalikan Kesatuan Mahasiswa dan meneruskan agenda-agenda reformasi IPT yang lain.
2. Berhenti Mencabuli Kebebasan Rakyat
Menurut “Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia Tahun 2021”, kedudukan kebebasan media bagi Malaysia menurun sebanyak 18 tempat berbanding dengan tahun 2020, iaitu tempat ke-119 dalam 180 buah negara.
Ketika pemerintahan kerajaan Muhyiddin, ruang kebebasan masyarakat telah dihakis dengan kadar yang cepat. Sejak tahun 2020, kerajaan telah menggunakan akta-akta zalim, antaranya “Akta Hasutan 1948”, “Akta Komunikasi dan Multimedia 1998” dan “Akta Perhimpunan Aman 2012”, bagi menindas ahli-ahli politik, para aktivis dan pekerja-pekerja media yang mengeluarkan kenyataan yang tidak memihak kepada pihak penguasa, mereka turut dipanggil, diganggu serta ditangkap oleh pihak polis.
Akta-akta zalim ini yang jelas merosakkan semangat demokrasi negara sepatutnya dimansuhkan oleh kerajaan baharu sekiranya mereka sememangnya berhasrat untuk menyelamatkan negara. Kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, dan kebebasan media bagi rakyat Malaysia harus dilindungi.
3. Menghapuskan Politik Lompat Parti
Politik lompat parti (Politik Katak) merupakan fenomena biasa yang dihadapi oleh Malaysia selama ini. Kebelakangan ini, ramai wakil rakyat dan parti politik telah membelakangi prinsip politik, amanah dan hasrat kehendak rakyat, mereka turut melompat antara parti-parti politik kerana ketamakan kuasa dan sumber.
Politik katak ini mengakibatkan rakyat hilang keyakinan terhadap sistem demokrasi berparlimen, manakala institusi eksekutif tidak dapat berfungsi dengan baik kerana telah menjadi medan para politikus untuk mengaut kepentingan peribadi. Selain itu, politik lompat parti juga menyebabkan ahli parlimen dan parti politik kurang memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara.
Bagi mengelakkan keruntuhan sistem perundangan dan pentadbiran negara secara berterusan, kerajaan baharu harus segera meluluskan “Akta Anti Lompat Parti”, di samping itu, memperkasakan peranan Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam usaha menghapuskan politik katak.
Kami mendesak kabinet baharu yang dipimpin oleh Ismail Sabri supaya segera memenuhi tiga tuntutan di atas bagi menunjukkan tekad kerajaan dalam memperbaiki sistem negara serta melindungi hak-hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Diusul oleh:
Pertubuhan Gabungan Mahasiswa Baharu Malaysia
DISOKONG OLEH ORGANISASI-ORGANISASI BERIKUT:
ANGKATAN MAHASISWA
GERAKAN MAHASISWA DEMOKRATIK
KESATUAN MAHASISWA UNIVERSITI MALAYA
LYCEUM SOCIETY
MAHASISWA AMANAH NASIONAL
MAHASISWA KEADILAN MALAYSIA
MAHASISWA ROKET
MAJLIS ORATOR UNIVERSITI MALAYA
MALAYSIA YOUTHS AND STUDENTS EVOLUTION JOHOR BRANCH
NEW ERA UNIVERSITY COLLEGE STUDENT UNION
PERSATUAN EKONOMI UNIVERSITI MALAYA
PERSATUAN HINDU UNIVERSITI MALAYA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
PERTUBUHAN SERIKAT RAKYAT MALAYSIA (SERIKAT)
SCL MALAYSIA
STUDENT PROGRESSIVE FRONT UUM
STUDENT UNITY FRONT UKM
TAR ASSOCIATION OF NEW YOUTH
UMANY
VOICE OF YOUTHARIAN
YOUTAR




Komen