Segerakan pelaksanaan Undi18, Hormat hak demokrasi belia
- Student Unity Front UKM 国大学生团结阵线
- 28 Mac 2021
- 1 min membaca
Student Unity Front UKM telah menghadiri perhimpunan Undi18 untuk membantah kelewatan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik yang akan menghakis hak demokrasi belia.
Perhimpunan ini telah menarik penyertaan para mahasiswa. Antaranya Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, pemimpin mahasiswa dari institusi swasta, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia. Mereka telah menunjukkan perhatian mereka terhadap isu ini.

Penyertaan mahasiswa telah menunjukkan persepsi masyarakat awam bahawa belia kurang ambil peduli perkembangan semasa adalah kurang tepat. Ini juga telah menafikan kenyataan Presiden PAS Hadi bahawa belia “kurang matang” untuk mengundi. Akta Undi18 bukan sebuah agenda yang “dipengaruhi oleh Barat”, malah ini juga bukan perkara yang baharu di tanah air kita. 74 tahun yang lalu, PUTERA-AMCJA pernah mencadangkan hak mengundi untuk rakyat yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam Perlembagaan Rakyat.
Nafas baharu akan dibawa ke dalam pembangunan negara apabila belia dijamin hak penyertaan politik. Hal ini kerana akan memastikan suara hati belia didengari dan diambil perhatian dengan serius. Ini termasuk isu-isu yang sedang dihadapi oleh golongan belia seperti masalah akses Internet, isu pelanjutan pengajaran, isu yuran sewa bilik yang dihadapi oleh mahasiswa serta masalah pengangguran graduan.
Pada abad ke-20, golongan wanita telah dinafikan hak mengundi hanya kerana pandangan arus perdana masyarakat tanpa sebarang asas saintifik. Masyarakat pada masa tersebut berpendapat cara pemikiran wanita tidak sesuai untuk membuang undian. Pada hari ini, segelintir ahli politik mengatakan belia “kurang matang” untuk mengundi, dan cuba menafikan hak penyertaan politik mereka demi manfaat politik sendiri. Di sini, kami menyeru golongan belia untuk memberi perhatian kepada isu Undi18, dan berani untuk mempertahankan hak kami yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Comments