Peristiwa Baling 1974
- Student Unity Front UKM 国大学生团结阵线
- 1 Mei 2021
- 2 min membaca
Hari Pekerja meraikan sumbangan para pekerja dalam perkembangan tamadun manusia. Hari ini juga memperingati sumbangan gerakan buruh dalam memperjuangkan hak dan kebajikan para pekerja. Sejarah gerakan buruh di negara kita dikatakan bermula sejak zaman penjajahan British. Para mahasiswa telah giat melibatkan diri dalam gerakan ini. Inilah termasuk Peristiwa Baling 1974 yang melibatkan para mahasiswa seluruh negara termasuk mahasiswa UKM.
Pada tahun 1974, penurunan harga getah telah menjejaskan pendapatan para pekebun di Baling, Kedah. Pada masa yang sama, berlakunya inflasi yang menyukarkan kehidupan mereka. Para pekebun telah mengadakan protes di Baling menuntut kerajaan supaya campur tangan menaiki harga getah dan mengawal inflasi. Pada bulan Disember tahun yang sama, mahasiswa di seluruh negara termasuk mahasiswa UKM telah berdemonstrasi di kampus masing-masing sebagai tanda soladiriti.
Kerajaan telah menggerakkan FRU ke dalam kampus untuk mengawal demonstrasi. Pada 8 Disember, kerajaan melancarkan Operasi Mayang. Pihak polis memasuki kampus UM, ITM (UiTM sebelum mendapatkan taraf universiti), UKM, USM serta NUS dan Nantah di Singapura dan menahan 12 pensyarah dan mahasiswa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dengan ini, penglibatan mahasiswa dalam Peristiwa Baling diakhiri selepas tindakan kerajaan.
Kertas Putih Kementerian Dalam Negeri pada tahun 1974 menunjukkan bahawa penglibatan mahasiswa UKM adalah didorong pemahaman sengsara yang dihadapi oleh para pekebun di Baling. Hal ini kerana kebanyakan mahasiswa UKM pada masa itu berlatar belakang petani. Pada masa yang sama, mereka juga tidak berpuas hati dengan gejala rasuah serta paternalisme kerajaan.
Melalui Peristiwa Baling, kami boleh mendapati bahawa mahasiswa UKM gigih memainkan peranan pembela masyarakat. Mereka berani bersuara bagi pihak yang ditindas iaitu pekebun Baling. Janganlah kita melupakan makna Hari Pekerja yang mulia ini. Kami menyeru para mahasiswa UKM supaya mengambil perhatian tentang isu-isu hak dan kebajikan pekerja di negara kita, serta mendesak pihak berkuasa untuk menjamin hak dan kebajikan para pekerja.
Sumber maklumat: Buku yang bertajuk Aktivisme Mahasiswa Malaysia, Kegemilangan dan Kesuraman oleh Meredith L.Weiss. https://www.gerakbudaya.com/aktivisme-mahasiswa-malaysia
Sumber gambar: Siri Sejarah Aktivisme Mahasiwa
Commentaires