Perarakan Wanita Malaysia 2021
- Student Unity Front UKM 国大学生团结阵线
- 8 Mac 2021
- 2 min membaca
Sempena Hari Wanita Sedunia, Perarakan Wanita diadakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat awam terhadap isu kesaksamaan gender dan menyeru kerajaan untuk mengambil tindakan untuk menjamin hak wanita serta golongan minoriti seksual.
Oleh itu, Student Unity Front UKM di sini mengemukakan tuntutan seperti berikut:
Mengadakan sidang Parlimen dan segerakan RUU Akta Gangguan Seksual Isu gangguan seksual telah berlarutan di Malaysia sejak lama lagi. Sebelum ini, seorang pensyarah di Universiti Malaya dituduh terlibat dalam kes gangguan seksual. Baru-baru ini, terdapat kes gangguan seksual yang melibatkan anggota polis di sekatan jalan raya. Namun, tiada sebarang mekanisma yang berkesan untuk melindungi mangsa serta membanteras isu gangguan seksual. Rang Undang-Undang Akta Gangguan Seksual yang sepatutnya dibahaskan dalam Parlimen sesi Mac 2020 telah ditunda beberapa kali disebabkan pelbagai isu. Kami menyeru kerajaan supaya mengadakan sidang parlimen dan segerakan RUU Akta Gangguan Seksual.
Menghormati golongan minoriti seksual dan kepelbagaian orientasi seksual Suasana masyarakat kami yang semakin konservatif telah mengapikan sentimen homofobia dan transfobia. Keadaan ini menyebabkan golongan minoriti seksual tidak dapat menjalani kehidupan mereka dengan selesa dan bebas. Ini bukan sahaja menghakis hak asasi kemanusiaan mereka, tetapi juga menjejaskan maruah kehidupan mereka. Sebagai contoh, Nur Sajat telah menjadi mangsa kepada sentimen transfobia dan ucapan kebencian (hate speech) terhadap golongan transgender. Dia bukan sahaja didiskriminasi, tetapi keselamatannya digugat apabila dia menerima ugutan dibunuh daripada netizen. Kami menyeru setiap pihak supaya mengenali dan menghormati golongan minoriti seksual serta kepelbagaian orientasi seksual.
Menyeru kerajaan supaya memberi tumpuan kepada golongan rentan terutamanya wanita. Pandemik Covid 19 telah menyukarkan kehidupan golongan rentan terutamanya golongan wanita. Faktor ekonomi dan norma baharu iaitu bekerja dari rumah telah menyumbang kepada kenaikan kes keganasan rumah tangga. Pada masa yang sama, isu kemiskinan haid juga menjejaskan wanita daripada golongan miskin. Namun. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak pernah mengemukan sebarang solusi untuk isu-isu ini. Kami menyeru kementerian gigih memberi tumpuan kepada mereka serta memastikan mereka mendapat bantuan dan jaminan yang secukupnya.
Kesaksamaan gender merupakan antara elemen penting dalam hak asasi kemanusiaan. Walaupun Malaysia telah meratifikasi Konvensi mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), tetapi diskriminasi terhadap wanita masih wujud dalam kehidupan harian kami. Ini termasuk isu kewarganegaraan anak kepada wanita warga Malaysia, perkahwinan kanak-kanak, mutilasi alat kelamin wanita dan diskriminasi di alam pekerjaan. Selain itu, golongan minoriti seksual mengalami diskriminasi dan intimidasi daripada masyarakat serta pihak penguatkuasa. Kami menyeru supaya mengambil perhatian terhadap isu kesaksamaan gender dan bersama membina masyarakat yang menghormati serta bertoleransi kepelbagaian orientasi seksual.

Comments