Kumpulan Mahasiswa Menyeru Perdana Menteri Segerakan Pemansuhan AUKU
- Student Unity Front UKM 国大学生团结阵线
- 19 Mac 2021
- 2 min membaca
Pada 16 Mac 2021, YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin telah menyeru para mahasiswa untuk menyampaikan pandangan dan aduan menggunakan saluran yang betul serta menghargai ruang dan kebebasan yang diberikan oleh kerajaan dalam perutusan beliau semasa Mesyuarat Perdana Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2021.

Kami berpendapat bahawa kenyataan di atas tidak akan menyelesaikan segala masalah utama yang dihadapi oleh institut pengajian tinggi (IPT). Malah, kerajaan patut mengambil tindakan proaktif untuk menjamin kebebasan bersuara setiap mahasiswa, bukannya terus menafikan kebebasan mahasiswa dengan pelaksanaan Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kebebasan bersuara setiap individu termasuk kumpulan mahasiswa. Kerajaan tidak patut menggunakan undang-undang yang zalim untuk menyekat kebebasan mahasiswa, atau berpendapat bahawa kebebasan mahasiswa perlu diberi oleh kerajaan atas pertimbangan. Kebebasan bersuara rakyat untuk memberi pendapat terhadap segala isu awam adalah sah di bawah Perlembagaan, tanpa mengira “saluran yang betul atau salah”.
Buat masa sekarang, wakil-wakil mahasiswa dan MPPK hanya memainkan peranan untuk memberi pandangan kepada pihak pentadbiran dalam IPT masing-masing. Manakala, ruang dan kebebasan untuk memberi pandangan adalah mengikut pertimbangan pihak pentadbiran masing-masing. Mekanisme yang sedia ada ini akan menyebabkan pelaksanaan polisi IPT mengetepikan pandangan mahasiswa serta menjejaskan hak dan kebajikan para mahasiswa. Kehilangan kuasa memutus polisi IPT para mahasiswa akan membawa kesan seperti kemerosotan akauntabiliti IPT dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan menjejaskan keberkesanan pelaksanaan polisi mereka.
Semasa penularan wabak Covid-19, polisi KPT yang kurang jelas dan sentiasa berubah-ubah bukan sahaja menyukarkan para mahasiswa, tetapi juga gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mahasiswa yang sepatutnya menjadi keutamaan KPT. Pihak pentadbiran telah membuat kesilapan berkali-kali yang mengabaikan keperluan, keselamatan, serta nyawa mahasiswa semasa pelaksanaan polisi Covid-19. Walaupun begitu, mahasiswa masih tidak dapat memantau dan menyegerakan penyelesaian masalah pihak pentadbiran dan IPT.
Banyak kesan buruk yang wujud di pelbagai IPT adalah hasil daripada pelaksanaan AUKU. Namun begitu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membatalkan pelan pemansuhan AUKU yang dirancang oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). Walaupun YB Menteri Dr Noraini Ahmad telah mempelawa MPPK dan organisasi lain untuk menyertai AJK Kerja Penambahbaikan AUKU 1971, tetapi tiada sebarang pencapaian telah diumum sampai hari ini. Jelasnya, “saluran yang betul” yang disebutkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya sekadar drama yang mengelabui mahasiswa.
Dengan ini, kami menyeru YAB PM Tan Sri Muhyddin Yassin menyasarkan pemansuhan AUKU dan meneruskan reformasi IPT untuk menunjukkan keikhlasan beliau menjamin kebebasan bersuara mahasiswa, menyelesaikan isu kebajikan mahasiswa, dan menambah baik prestasi pihak KPT dan IPT di seluruh Malaysia.
Kenyataan Bersama:
New Student Movement Alliance of Malaysia
Student Progressive Front UUM
University of Malaya Association of New Youth
Student Unity Front UKM
Malaysia Youths and Students Evolution Johor Branch
Voice of Youtharian
Gerakan Pembebasan Akademik
Tunku Abdul Rahman Association of New Youth
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya
Suara Siswa UM
Angkatan Mahasiswa UM
Demokrat UM
MJIIT Voices
Malaysia Youths and Students Evolution Melaka Branch
New Era University College Student Union
Kesatuan Mahasiswa UKM
Demokrat UKM
Republican UKM
Perubahan UUM
Suara Mahasiswa UMS
Suara Mahasiswa Malaysia - SUARA
Haksiswa
UUM Law Students’ Society
Comments