Ketidakcekapan dalam Kerja Kawalan Covid-19 di dalam Kampus UKM
- Student Unity Front UKM 国大学生团结阵线
- 8 Jun 2021
- 2 min membaca

Untuk mengekang penularan Kluster KPZ, pihak UKM telah menjalankan saringan besar-besaran terhadap penghuni perempuan di Kolej Pendeta Za’ba (KPZ). Namun, hanya segelintir penghuni yang akan terlibat sahaja mengikut “penilaian” Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Penghuni yang terlibat juga akan menjalani kuarantin selepas ujian calitan Covid 19, tetapi di bilik kediaman yang asal. Pada waktu tengah hari, PKD telah mengarahkan semua penghuni Blok G dan Blok H yang sedang menjalankan kuarantin untuk membuat ujian calitan kedua tanpa sebarang pemberitahuan awal. Arahan tersebut telah menyebabkan Bangunan Dewan Besar KPZ sesak dengan penghuni yang terbabit.
Sejak pengisytiharan kluster, kerja kawalan di dalam kampus telah menimbulkan pelbagai persoalan dan ketidakpuasan hati para mahasiswa.
1.Hanya segelintir yang akan menjalankan ujian saringan.
Menurut pengurusan KPZ, hanya kontak rapat kepada pesakit pada 28hb dan 29hb Mei yang akan menjalankan ujian saringan sahaja. Namun, jika antaranya telah terjangkiti virus Covid-19 anggaran satu minggu lalu, kemungkinan besar virus ini telah menular luas dalam kalangan penghuni perempuan. Tetapi, pihak PKD pula menuduh senarai nama yang akan menjalankan ujian saringan adalah diberikan oleh pihak pengurusan KPZ. Walau bagaimanapun. ujian saringan yang hanya melibatkan segelintir adalah tidak munasabah.
2. Kontak rapat menjalankan kuarantin bersama penghuni yang lain.
Seperti dinyatakan di atas, hanya segelintir yang terlibat dalam ujian saringan. Mereka sepatutnya menjalankan kuarantin selepas ujian saringan. Namun, mereka akan menjalankan kuarantin dan menggunakan tandas yang sama bersama penghuni lain. Terdapat penghuni bilik berduaan di mana hanya satu penghuni sahaja terlibat, tetapi menjalankan kuarantin di bilik asal bersama teman sebiliknya. Teman sebiliknya pula boleh pergi kafe dan ruang awam seperti biasa. Polisi ini bukan sahaja tidak dapat memutuskan rantaian Covid 19, tetapi juga menularkan virus.
3. Ujian saringan kedua penghuni blok G dan blok H secara mengejut.
Pada pukul 12, pegawai PKD menyarankan penghuni blok G dan blok H untuk menjalankan ujian saringan kedua di Dewan Besar. Pengumuman secara mengejut ini menyukarkan pihak pengurusan KPZ untuk mengawal aliran orang dan menyebabkan berlakunya kesesatan. Mereka yang sepatutnya tidak meninggalkan kawasan blok pula diarahkan ke Dewan Besar yang merupakan ruang awam di KPZ. Keadaan ini mungkin menyebabkan usaha kuarantin sebelum tersia-sia sahaja.
Ketidakcekapan yang ditunjukkan selama ini telah menyebabkan para mahasiswa keliru dan gelisah. Lebih-lebih lagi, pihak pengurusan KPZ, Pusat Kesihatan UKM dan Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing memberi alasan sendiri dan cuba mengelak tanggungjawab. Sebelum ini, isu ketidaktelusan telah timbul di dalam kampus. Keadaan ini menyebabkan keikhlasan dan ketekadan pihak berkenaan dalam kerja kawalan Covid 19 dicuragai. Kami menyeru semua pihak yang berkenaan perlu menjelaskan ketidakcekapan selama ini dan meminta maaf kepada para mahasiswa dan masyarakat awam. Juga, pihak UKM patut melaksanakan janji untuk telus dalam kerja kawalan Covid 19.
Comments